5 KESAN BURUK KEATAS ANAK APABILA IBUBAPA MENENGKING DAN SELALU DIMARAHI

Perbuatan menengking, membentak atau pun berteriak kepada anak merupakan perkara spontan yang dilakukan ibu bapa apabila emosi amarah tidak dapat dikawal dan ia satu cara ibu bapa untuk menunjukkan ‘kuasanya’ dan untuk menarik perhatian anak agar mendengarkan percakapannya.

Tahukah ibu bapa bahawa apabila menengking atau membentak anak suatu gelombang suara yang kuat akan terhasil dan bila disertai dengan gelombang emosi yang dihasilkan oleh otak kiri akan berkolaborasi menghasilkan gelombang baru dengan kesan negatif. Kesan ini bersifat memusnahkan terhadap sel-sel otak, terutama bagi anak yang menjadi sasaran bentakan tersebut.

Berikut kesan buruk serta-merta dan jangka masa panjang akibat menengking anak:

1. Sel-sel otak akan rosak

Satu tengkingan mampu merosak berjuta sel-sel otak anak secara serta-merta. Menurut hasil kajian Lise Gliot, membuat kesimpulan bahawa bagi anak yang masih dalam proses pertumbuhan otaknya iaitu dalam lingkugan usia 2 – 3 tahun pertama (golden age), suara keras atau menengking yang keluar dari mulut ibu bapanya dapat merosakkan sel-sel otak yang sedang dalam proses pertumbuhan.

2. Kurang percaya pada diri-sendiri

Kesan jangka masa panjang pula, anak akan menjadi seorang penakut, suka menyendiri dan tidak terbuka dalam pergaulan bersama orang lain atau masyarakat.

3. Fikiran lembab dan negatif

Anak-anak akan mudah meluahkan emosi negatif seperti marah, panik atau sedih. Mereka cenderung untuk mengalami stress dalam hidup kerana sukar memahami pola-pola masalah yang mereka hadapi. Semuanya adalah kerana akibat dari sel-sel otaknya yang aktif lebih sedikit dari yang sepatutnya (kerana banyak yang telah rosak).

4. Mengganggu kesihatan pendengaran dan jantung

Suara marah dan tengkingan yang terlalu kerap boleh mengakibatkan anak mempunyai gangguan pendengaran dan sukar menjadi seorang pendengar yang baik. Ini kerana anak-anak akan cuba menurunkan deria pendengaran mereka daripada mendengar tengkingan ibu bapa dan selalu akan menutup telinga ketika dimarahi. Mereka tidak berkembang di dalam persekitaran yang positif dan membina.

Bentakan atau tengkingan yang berlaku tanpa henti atau kerap dan bertahun-tahun juga boleh mengakibatkan jantung anak lelah kerana setiap kali bentakan jantung akan berdegup lebih laju.

5. Anak-anak meniru sifat yang sama

Ibu bapa adalah contoh terbaik untuk anak-anak. Anak-anak berpotensi besar suka menjerit-jerit dan berkelakuan kasar dalam pergaulannya. Mudah marah dan sukar mengawal emosi. Dalam aktiviti seharian, pergaulan bersama rakan-rakan, adik-beradik bahkan komunikasi terhadap ibu bapa juga mengalami kesan buruk.

Anak adalah anugerah Allah SWT yang tak ternilai dan ia adalah amanah untuk kita menjaganya dengan sebaiknya. Mengikut Sunnah Rasulullah, anak-anak ketika usia 0 – 6 tahun, mereka tidak boleh sesekali ditengking atau dipukul. Mereka harus dimanjakan dan dikasihi sepenuhnya.

Namun tanpa disedari, ibu bapa sendiri pula yang merosakkan jiwa, fikiran dan keperibadian anak-anak mereka dengan perbuatan suka menengking kepada anak.

Oleh itu, mulai sekarang mari kita sebagai ibu bapa yang bertanggung jawab untuk berusaha memberikan yang terbaik pada anak-anak kita dengan tidak menengking atau membentak kepada anak. Jika mereka membuat sesuatu yang salah, tegur dan terangkanlah cara elok apa yang mereka lakukan itu salah. Ibu bapa harus sentiasa memohon doa kepada Allah untuk anak-anak menjadi baik dan berjaya.

teratak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge