Apa Perlu Buat Jika Kepala Anak Terhantuk dan Benjol?

Anak-anak dan bermain tak dapat nak dipisahkan, bermain serta berlompat juga adalah satu proses pembelajaran untuk mereka. Namun, kadang kala dengan kelasakan mereka boleh membuatkan mereka terjatuh dan mengakibatkan kepala mereka benjol. Sebagai ibu bapa, apa perlu kita buat jika terjadi kepada anak kita:

Benjol adalah situasi di mana pengumpulan darah beku berlaku pada bawah lapisan kulit akibat saluran darah kapilari yang pecah. Untuk memeriksa sama ada kepala anak benjol itu bahaya atau tidak. Ada 4 perkara asas yang perlu kita tahu dan buat apabila kepala anak kita terhantuk dan benjol:

1. Periksa keadaan anak

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah memeriksa secara menyeluruh dan mencari kesan kecederaan akibat terhantuk tadi. Jika posisi benjolan terletak di bahagian hadapan kepala seperti dahi, anda tidak perlu terlalu khuatir. Sebaliknya, jika kepala anak benjol di bahagian belakang, lebih baik mengambil langkah selamat untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Jika anda dapati kesan bahaya seperti dibawah, bawa anak berjumpa doktor serta-merta:

  • Tak sedarkan diri (pengsan sekejap atau lama)
  • Muntah yang teruk
  • Benjolan yang besar atau luka yang dalam
  • Pendarahan atau keluarnya cecair dari hidung, telinga, atau mulut
  • Sawan
  • Keliru, bingung, lemah, tidak aktif, dan tidak memberi respon terhadap sekeliling

2. Tuam benjol menggunakan ais

Dengan menuam benjol dengan ais boleh meredakan kesakitan serta mengecutkan benjolan tadi. Lakukannya selama 15-20 minit.

Selain kaedah tuaman, anda boleh membalutkan ‘bandage’ untuk memberi kesan tekanan kepada benjolan tersebut.

3. Pantau anak dalam tempoh 24 jam

Anak mungkin akan berasa mengantuk dan tidur sebentar, ini adalah normal. Apabila anak kembali tenang, perhatikan kelakuannya dan lihat sama ada terdapat simptom lain yang mencurigakan. Ini kerana, kecederaan otak menunjukkan kesan serta-merta atau berlaku secara perlahan-lahan. Antara tanda-tanda atau perubahan tidak normal yang perlu dipantau ialah:

  • Tidak berhenti menangis, tak boleh dipujuk, nampak kesakitan
  • Pernafasan semakin laju
  • Waktu tidur terganggu
  • Pergerakan kaki atau tangan yang tidak normal
  • Tidak dapat mengimbangkan badan dan kerap terjatuh
  • Muntah berterusan
  • Mata menjadi juling, saiz biji mata yang tidak normal
  • Penglihatan semakin kabur

Jika terjadinya sebarang tanda yang mirip seperti di atas, rujuklah ke hospital dengan kadar yang segera.

4. Kurangkan aktiviti lasak anak buat sementara waktu

Halang dan tegah anak untuk terus bermain atau melompat untuk sementara waktu. Ini dapat membantu kita untuk memantau anak kita jika ada kesan-kesan bahaya seperti dinyatakan diatas. Kita juga dapat mencegah dari berlakunya kesan-kesan sampingan jika anak terus bermain.

Agak sukar gegaran otak untuk berlaku akibat terhantuk kerana otak manusia dilindungi oleh tempurung kepala dan dikelilingi cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat akibat terjatuh. Tapi, bayi yang kurang daripada 18 bulan adalah sangat berisiko kerana ubun-ubunnya masih lembut.

Jika tiada simptom di atas, anda boleh membiarkan anak anda berehat atau tidur. Namun, dinasihatkan agar anda mengejutkan anak setiap 30 minit dalam masa 6 jam pertama setelah berlakunya hantukan tadi. Ini adalah untuk memastikan tidak berlakunya simptom yang merisaukan.

 

teratak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.