Tips cara pemakanan untuk wanita ketika hamil

Seiring dengan pertumbuhan bayi yang semakin membesar dalam kandungan, wanita hamil memerlukan pertambahan makanan yang mempunyai zat. Makanan untuk berdua, iaitu untuk ibu dan anak dalam kandungan. Namun ia bukanlah penambahan dalam jumlah makanannya, tetapi pertambahan nilai pemakanan yang terdapat dalam makanan itu.

Di samping itu wanita yang hamil harus menjaga kesihatannya dengan baik, seperti waktu rehat dan tidur harus disusun dengan teliti. Disamping itu makanan yang seimbang sangat mustahak untuk pertumbuhan janin didalam kandungan, kerana ibu yang tidak sihat akan menjejaskan kesihatan anak di dalam kandungan.

1. Mengambil makanan yang berzat

Apabila wanita muda hamil, pertambahan berat badan yang akan dialami ialah dalam lingkungan 10 – 15 kg. Pada 20 minggu pertama, lebih kurang 3 – 5 kg berat badan akan bertambah dan pada 20 minggu terakhir berat badan akan bertambah dalam lingkungan 9 – 11 kg. Walaupun demikian,sesetengah wanita mengalami berat badan yang kurang dan sesetengahnya pula berat badan berlebihan. Kadar ini masih dianggap normal. Mungkin juga doktor akan menyarankan jenis makanan yang mempunyai banyak zat supaya pertumbuhan ibu dan janin di dalam kandungan sihat.

2. Mengatur makanan seharian

Makanan yang dimakan sepanjang masa hamil mempunyai fungsi yang penting dalam menjaga kesihatan ibu dan janin yang ada dalam kandungan. Oleh kerana pada masa ini janin perlu membesar, maka makanan yang harus diutamakan ialah makanan yang mengandungi protein seperti daging, ikan, telur dan kacang-kacang. Makanan yang mengandungi vitamin dan mineral seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga diperlukan. Begitu juga dengan sumber karbohidrat yang memberikan tenaga.

Penambahan protein sangat diperlukan untuk pembentukan jaringan baru anggota tubuh janin serta untuk persediaan ibu menghadapi masa bersalin dan menyusukan nanti. Kalsium pula diperlukan untuk pembentukan tulang dan gigi. Penambahan zat besi juga diperlukan untuk penambahan darah, supaya ibu tidak mengalami masalah kurang darah ketika bersalin.

Tetapi perkembangan janin dalam kandungan memerlukan zat makanan yang berbeza. Oleh sebab itu makanan perlu diatur, supaya keperluan zat makanan dapat dipenuhi mengikut peringkat perkembangan janin. Pada peringkat tiga bulan pertama, ibu yang mengandung tidak memerlukan makanan yang bertambah. Keperluan makanan pada masa ini samalah seperti sebelum hamil.

Pada masa ini wanita yang mengandung mengalami loya dan muntah, oleh sebab itu sebaiknya memilih makanan yang tidak berminyak dan berempah serta tidak pedas. Untuk mengatasi rasa loya dan muntah mungkin boleh menggunakan kaedah jangan minum ketika sedang makan. Makan yang dilakukan dengan kerap tetapi sedikit-sedikit adalah lebih baik, daripada harus memakan makanan secara banyak tetapi sekali-sekala sahaja.

Pada peringkat tiga bulan kedua, janin dalam kandungan membesar dengan cepat sekali. Hampir separuh dari pertambahan berat badan ibu ketika mengandung berlaku pada bulan keenam dan ketujuh. Pada dua bulan terakhir kehamilan, otak janin berkembang dengan cepat. Sel-sel tumbuh dengan subur. Para penyelidik juga telah membuktikan, kekurangan zat pemakanan pada waktu itu boleh mempengaruhi pertumbuhan otak janin.

Setelah peringkat pertama kehamilan berlaku, selera makan wanita hamil akan kembali seperti biasa. Seiring dengan pertumbuhan bayi, maka ibu yang mengandung di sarankan supaya mengawasi pemakanan pada masa ini. Makanan yang kaya dengan protein, vitamin dan zat galian hendaklah ditambah. Sebaliknya makanan yang kaya dengan karbohidrat. Lemak dan gula hendaklah dikurangkan, sebab makanan ini hanya akan menggemukkan badan ibu yang mengandung.

Makanan semasa mengandung mestilah meliputi tiga kumpulan iaitu protein, karbohidrat dan lemak, vitamin serta mineral.

3. Makanan tambahan yang diperlukan

Tambahan protein

Tambahan protein sekurang-kurangnya 10 gram diperlukan untuk pertumbuhan janin, iaitu untuk pembentukan seperti jaringan otot, kulit, rambut dan kuku. Protein dapat diperolehi dari daging, susu, keju, ikan, telur, biji-bijian, tauhu atau tempe.

Tambahan zat kalsium

Kalsium diperlukan untuk membentuk tulang dan persediaan untuk gigi. Jika janin tak dapat zat ini, dia akan memperolehinya dari tulang ibu. Untuk mengatasi masalah ini, ibu yang mengandung boleh mendapatkan zat tambahan ini daripada susu, biji-bijian, kacang dan sayuran.

Tambahan Kalori

Makanan yang banyak karbohidrat, gula dan lemak mempunyai nilai kalori yang tinggi. Biasanya didapati daripada bahan makanan utama seperti nasi, kerana ia mengenyangkan. Di akhir kehamilan makanan ini tidak terlalu banyak diperlukan, kerana nilai zatnya yang randah. Pilihan makanan yang sebaiknya ialah makanan yang mengandungi banyak protein, vitamin dan mineral seperti yang dinyatakan diatas.

Tambahan Vitamin

Vitamin diperlukan untuk melancarkan perjalanan darah dalam tubuh ibu yang mengandung. Vitamin B kompleks terdapat dalam kacang. Vitamin A banyak terdapat dalam kuning telur, susu, hati, sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna hijau serta kuning kemerahan.

Vitamin C banyak terdapat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan. Makanan yang berasaskan susu seperti keju merupakan makanan tambahan berzat tinggi dan sempurna yang sangat baik untuk ibu hamil. Di samping susu mengandungi protein susu, susu juga mengandungi lemak, kalsium, fosfat, zat besi, sodium, potassium serta vitamin C. Untuk mendapat nilai yang tinggi, pilihlah susu segar atau sus tepung yang tidak berkrim. Susu pekat tidak sesuai, kerana nilai proteinnya sangat sedikit.

Disamping itu ibu yang sedang mengandung juga harus memastikan bahawa makanan yang dimakannya itu diperolehi daripada makanan yang halal dan diredhai Allah SWT. Sebaliknya menghindari daripada memakan sesuatu yang dihasilkan daripada riba. Kerana barang yang haram yang masuk ke dalam tubuh kita akan menjadi darah daing. Tentunya akan mempengaruhi sikap dan fikiran kita, begitu juga akan mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan janin di dalam kandungan.

Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada Nya sahaja kamu menyembah.”

(Al-Baqarah:172)

 

teratak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.